skip to Main Content
Seronoknya! Family Day Di Legend Cherating, Pahang

Seronoknya! Family Day di Legend Cherating, Pahang


Alhamdulillah pada 18 Ogos 2017, sekali lagi team KBBA9 meraikan hari keluarga. Kali ini sebanyak 30 keluarga bertuah dapat bersama menyertai program kali ini yang ditaja oleh Legend Cherating Beach Resort. Percutian 3 hari 2 malam ini telah disusun aktiviti yang sangat menarik dan pastinya menjadi kenangan istimewa buat kami semua.

Legend Cherating Beach Resort terletak di 45 kilometer di utara Kuantan, Pahang iaitu di tengah-tengah kehijauan tropika yang subur dengan tepi pantai yang landai dan bersih.

Perjalanan ke Legend Cherating mengambil masa lebih kurang 3 ke 4 jam dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Terdapat sebanyak 205 buah bilik dan juga suite yang luas dan telah diubahsuai juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi menambah keselesaan pengunjung. Setiap bilik turut dilengkapi dengan balkoni peribadi yang menghadap ke pemandangan taman, kolam renang dan Laut China Selatan yang cantik beserta sambungan WiFi.

Terdapat dua jenis kolam renang besar iaitu Kolam Renang Hijau dan Kolam Renang Biru dengan kedalaman sehingga 6 kaki dan juga kolam kanak-kanak disediakan. Hanya kolam hijau menetapkan syarat berpakaian renang jadi kolam biru dan kolam kanak-kanak dibolehkan berpakaian bebas. Kesemua pengunjung boleh menggunakan kolam renang pada bila-bila masa. Pastinya menjanjikan keseronokan kepada seisi keluarga.

Coconut Grove Coffee House & Terrace menyajikan hidangan yang sedap dan menyelerakan dengan hidangan tempatan seperti nasi lemak, mi goreng, nasi campur, tom yam, sup, dan banyak lagi. Tidak dilupakan juga hidangan dari masakan Cina dan juga masakan Barat. Kuih-muih traditional dan pencuci mulut lain juga tidak kurang hebatnya. Sudah pasti hidangan sedap dan menarik ini mampu membuka selera.

Bagi yang sukakan suasana malam yang tenang di tepi pantai, Deep Sea Beach Bar disediakan untuk anda berehat sambil menikmati keindahan cahaya bulan dan bunyi desiran ombak menghempas pantai. Pakej untuk acara BBQ bertemakan lanun juga boleh diuruskan oleh pihak resort.

Anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti di pantai berpasir putih yang bersih ini seperti menyewa All-Terrains Vehicle @ ATV, menikmati Banana Boat Ride atau Air Head bersama Pusat Mizi Watersports Centre, bermain bola sepak pantai, bola tampar pantai dan polo air, atau mencuba kemahiran memanah.

Terdapat juga pakej melawat paya bakau dan melihat kelip-kelip bersama Hafiz’s Cherating Activities, melawat Kuala Kemaman, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu, dan juga berpeluang melihat penyu bertelur atau melepaskan anak penyu ke laut.

Apa yang pasti, percutian di sini akan mencipta suatu kenangan terindah yang menyeronokkan dan tentunya tidak membosankan.


This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top